Anai-anai adalah serangga bertubuh lembut yang lazimnya dipanggil semut putih. Saiznya kecil (4-11 mm) dan tubuhnya terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu, kepala, toraks dan abdomen. Koloni anai-anai mempunyai beberapa individu berbeza, yang dipanggil sebagai kasta. Setiap kasta dalam sesebuah koloni mempunyai tanggungjawab masing-masing. Ahli terbesar dalam koloni anai-anai ini adalah ratunya. Ia juga serangga yang hayatnya terpanjang di dunia.
Anai-anai adalah daripada order Isoptera. Nama ini terbit daripada sifat anai-anai yang mempunyai sayap yang sama saiznya, iso=sama dan pteron=sayap. Sayapnya, jika ada, adalah panjang, langsing, dalam dua pasang dengan saiz dan bentuk yang serupa. Ia biasanya gugur selepas penerbangan mengawan yang singkat, di mana anai-anai jantan dan betina akan berpasangan untuk memulakan koloni baharu.